BANDAR KUALA KANGSAR - Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang yang maut dikelar di leher sebenarnya telah diculik terlebih dahulu sebelum suspek membunuhnya dalam kejadian di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara - Selatan berhampiran Bukit Gantang.
Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa, rakan mangsa ada menghubungi ibu pelajar malang itu, Nursyuhada Johari, 20, memaklumkan anaknya dilarikan lelaki berusia 25 tahun itu.
Ujarnya lagi, suspek menaiki kereta dan masuk ke kawasan kampus lalu menghunus pisau kepada mangsa serta memaksa arwah mengikutinya kira-kira pukul 11.00 pagi, semalam.
"Rakan-rakan melarang mangsa mengikut lelaki itu tetapi mungkin semasa kejadian dia berfikir boleh mententeramkan suspek," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, di sini, semalam.
Dia yang enggan dikenali berkata, mangsa dipercayai mengikut suspek kerana Nursyuhada memang mengenali lelaki itu apatah lagi selepas dia diugut dengan pisau.
Katanya, sebaik rakan mangsa menghubungi ibu Nursyuhada, ahli keluarga kemudian mula mencari mangsa dan berkali-kali menghubungi telefon bimbitnya tetapi tidak berjawab.
"Keluarga hanya mengetahui kejadian buruk menimpa mangsa apabila bapa Nursyuhada menghubungi bapa suspek.
"Bapa suspek itu memberitahu suspek telah kelar mangsa sebelum mereka pergi ke balai polis untuk pengesahan," katanya selain menambah mangsa merupakan anak kedua daripada enam beradik.
Katanya, pelajar jurusan Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan itu memang mengenali suspek tetapi bukan pasangan kekasih seperti laporan sesetengah media.
"Suspek mahu berkawan dengan Nursyuhada tetapi ahli keluarga serta mangsa sedia maklum dengan tabiat dadah suspek.
"Nursyuhada merupakan seorang yang ceria serta gemar bergurau. Kami terkejut dengan tindakan suspek sehingga sampai ke tahap ini," katanya.
Sumber:
KitaBantai.Info
0 Comments