MIC Mungkin Akan Adakah Pemilihan Baharu Untuk Selesai Kemelut


BATU PAHAT, 1 Feb (Bernama) -- MIC berhasrat mengadakan pemilihan baharu bagi semua jawatan daripada pelbagai peringkat dalam usaha menyelesaikan kemelut yang melanda parti itu, kata Presidennya Datuk Seri G.Palanivel.

Beliau berkata hasrat itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri dan pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan.

"Kita berpandangan untuk membuat sama ada pemilihan semula ataupun pemilihan baharu, namun, selepas berbincang kita berhasrat untuk membuat pemilihan baharu kerana itu merupakan jalan yang terbaik," kata beliau.

Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengerusi-pengerusi MIC Cawangan seluruh Johor di Dewan Orang Ramai Parit Yaani di sini, pada Ahad.

Turut hadir dua Naib Presiden parti itu Datuk S.Sothinathan dan Datuk S.Balakrishnan.

Beliau berkata pemilihan baharu itu diharapkan dapat mengukuhkan seluruh anggota dan parti yang berusia 68 tahun itu.

Palanivel berkata beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi menyelesaikan beberapa perkara dan mengadakan pemilihan di peringkat cawangan yang dijangka diadakan pada Jun depan disusuli peringkat bahagian dan lain-lain jawatan tertinggi.

Ketika ditanya sama ada semua pihak di dalam parti itu benar-benar bersetuju dengan langkah pemilihan baharu itu, Palanivel berkata ia sememangnya diminta oleh semua pihak termasuk yang tidak sehaluan dengannya.

Mengenai rancangan untuk mengadakan pertemuan dengan pengerusi-pengerusi cawangan di negeri lain selepas ini, beliau berkata ia akan diputuskan selepas sambutan Thaipusam, Selasa ini.

Krisis dalaman MIC tercetus selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka, pada November, 2013.

Dalam surat bertarikh 5 Dis 2014, RoS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan tersebut dalam tempoh 90 hari.

-- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments