Operasi Pencarian Nahas Air Asia QZ8501 Hanya Direhatkan, Bukan Dihentikan


Jakarta: Badan Mencari dan Menyelamat nasional (BASARNAS) Indonesia menegaskan operasi pencarian mayat mangsa dan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 tidak dihentikan sebaliknya hanya direhatkan selama dua hari untuk memberi kesempatan kepada kru pencarian berehat.

Ketua Pasukan BASARNAS Henry Bambang Soelistyo berkata, beberapa aset seperti kapal pencarian dan pasukan penyelam sentiasa bersiap sedia untuk memulakan pencarian sebaik menerima arahan.

Menurutnya, walaupun Tentera negara Indonesia (TNI) memutuskan untuk menarik balik aset mereka tetapi ia tidak menjejaskan operasi pencarian yang dijalankan oleh BASARNAS.

"Kita masih mempunyai aset yang boleh digunakan untuk operasi ini antaranya, dua helikopter dan pesawat milik AirAsia untuk melakukan penghantaran.

"Untuk BASARNAS pula, kita masih mempunyai empat kapal dan selain itu, Ketua Daerah Kotawaringin juga ada menyediakan kapal tongkang bersama penyelam untuk membantu operasi pencarian,"katanya kepada Detik News. com.

Menurutnya, kawasan pencarian tahap kedua ini masih berada sembilan koordinat yang sudah dikenal pasti sebelum ini dengan tambahan beberapa lokasi sekitar yang belum pernah ditinjau.

"Setakat ini tidak kurang daripada 45 penyelam sudah bersiap sedia untuk diturunkan.

"20 daripada penyelam ini adalah profesional yang biasa ditugaskan mencari kawasan minyak di dasar laut, manakala yang selebihnya adalah penyelam tradisional yang menawarkan diri untuk membantu" kata Soelistyo.

Sumber: myMetro

Post a Comment

0 Comments