Sejak awal pertandingan Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014) sudah kelihatan kelonggaran kumpulan Virus berbanding peserta lain yang mempunyai idea tersendiri dalam persembahan.
Kumpulan yang dianggotai Pak Yus, Tauke dan Zizan ini tersingkir pada persaingan separuh akhir Jumaat lalu, sekali gus gagal beraksi di pentas akhir MLM 2014 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Jumaat ini.
Kesungguhan mereka untuk bangkit dalam minggu yang bertemakan ‘Props dan Loghat’ ini gagal meyakinkan juri tetap serta penonton dan hasilnya mereka hanya mengutip peratusan 48.61 peratus dan menduduki tangga terakhir daripada enam kumpulan yang bertanding.
Kutipan markah malam itu menyaksikan Nabil mengungguli tangga teratas dengan kutipan 62.48 peratus, Zero (60.21), Bocey (55.36), Sepahtu (53.02) dan Shiro (51.32).
Sementara itu, keempat-empat juri iaitu Datuk Jalaluddin Hassan, Farah Quinn, Taufik Batisah dan Fazura mengakui persembahan setiap peserta menghiburkan dan tiada pertikaian berbangkit mengenai kumpulan yang layak ke pentas akhir.
Malah, menurut Jalaluddin, keputusan ini menunjukkan pihak Astro sememangnya adil dan tidak bersikap pilih kasih seperti yang disangka beberapa pihak.
“Walaupun kumpulan itu sebuah nama besar, tapi jika persembahan yang ditunjukkan tidak bagus, mereka pasti terkeluar kerana kuasa di tangan pengundi. Tak guna peminat menyokong sesebuah kumpulan jika tak mengundi.
“Sebelum ini orang kata Astro sudah merancang untuk menangkan Virus, tapi akhirnya mereka tersingkir, sekali gus membuktikan tohmahan sebelum ini tak berasas,” katanya.
Farah pula memuji Nabil yang memberikan persembahan hebat pada malam itu. Harapannya kelima-lima peserta dapat menampilkan persembahan hebat pada pentas akhir minggu depan yang bertemakan ‘Bebas dan Muzikal’.
Kegagalan Virus untuk hadir dalam sidang media pula menimbulkan persoalan dalam kalangan media sehingga ada yang menyangka mereka bertindak demikian kerana kecewa.
Bagaimanapun, Pak Yus ketika dihubungi selepas itu menafikan berbuat demikian kerana kecewa. Katanya, mereka menerima keputusan ini dengan hati terbuka.
“Kami langsung tiada masalah terima hakikat. Lagipun sejak awal lagi kami sudah boleh agak Virus gagal ke akhir kerana kes membabitkan juri. Mungkin itu salah satu penyebab kegagalan kami.
“Pemarkahan juri agak tinggi iaitu 70 peratus berbanding peminat 30 peratus. Kalau dia (juri) itu ada masalah dengan Zizan, itu hal peribadi dan tak perlu babitkan Virus.
“Sudah empat tahun saya dan Tauke masuk Maharaja Lawak dan tahun ini kami boleh katakan juri kurang bagus dan tak ‘happening’ berbanding musim sebelumnya.
“Pemberian bintang sebenarnya mempengaruhi undian peminat. Tapi, kalau kami buat sehabis baik dan tak diberi bintang yang baik pun jadi masalah juga. Bahkan kami keliru sama ada nak buat persembahan untuk juri atau peminat?
“Apapun kami fikir positif semua yang berlaku ada hikmah. Ini rezeki peserta lain terutama Zero untuk melangkah ke pentas akhir,” katanya.
Sumber:
myMetro
1 Comments
Nice entry...visit my blog on s
ReplyDeletehukran.blogspot.com