Kumpulan Zero yang berasal dari negeri Sabah muncul juara Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 selepas saingan dalam pertandingan akhir di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam tadi.
Gandingan adik beradik Kadil, Syaiful dan Kunal meraih wang tunai RM500,000 dan trofi. Syaiful lebih dikenali dengan nama Melati di kalangan peminat-peminatnya.
Mereka menewaskan empat peserta lain dalam dua persembahan yang bertemakan bebas dan muzikal.
Kumpulan Sepahtu yang dianggotai Jep dan Shuib menjadi naib juara dan memenangi hadiah wang tunai RM250,000 berserta trofi. Kumpulan Sepahtu pada awalnya turut dianggotai oleh Illya tetapi menarik diri disebabkan alasan kesihatan.
Tempat ketiga dimenangi peserta solo, Nabil yang meraih wang tunai RM150,000 serta trofi.
Kumpulan Shiro pula di tempat keempat diikuti kumpulan Bocey di tempat kelima yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM50,000 dan RM15,000 berserta trofi.
Hadiah disampaikan pelawak veteran, Datuk Jamali Shadat.
Peserta diadili juri tetap, Datuk Jalaluddin Hassan, Nur Fazura serta dua juri luar iaitu Taufik Batisah dari Singapura dan Farah Quinn dari Indonesia yang mewakili 70 peratus undian manakala bakinya daripada penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
0 Comments